Tuesday 13 December 2011

Langkah-langkah

Teknologi pada dasarnya memberikan kemudahan kepada kita semua terutamanya para pelajar. Walau bagaimanapun, ia turut memberi ruang kepada penularan kesan yang negatif seperti menjejaskan disiplin dan sahsiah pelajar. Oleh itu, antara langkah yang wajar diambil  untuk memastikan teknologi dan inovasi tidak menjejaskan disiplin dah sahsiah pelajar adalah dengan memupuk nilai-nilai murni dalam diri setiap individu. Seseorang individu seharusnya dapat membezakan antara kebaikan dan keburukan penggunaan teknologi yang ada. Jika kesedaran telah ada di dalam diri sendiri  maka kemungkinan untuk seseorang menyalah gunakan teknologi adalah tipis. Kesedaran dan penerapan nilai murni dalam diri penting kerana ia mampu menghalang kita daripada melakukan perkara yang negatif.

Langkah kedua adalah kepentingan  peranan ibu bapa. Sebagai ibu bapa, mereka bukan sekadar menyediakan kemudahan teknologi kepada anak terutama yang masih belajar. Mereka perlu sentiasa memantau apa yang dilakukan oleh anak mereka. Sebagai contoh, seorang bapa sentiasa memantau apa yang dilayari oleh anaknya. Mereka juaga boleh memasang perisisan anti virus yang mempunyai parental control. Hal ini bermaksud, mereka mengetahui dan dapat memantau web yang di layari oleh anak. Maka, dengan itu anak tidak akan begitu mudah melayari web yang mempunyai unsur ganas, lucah, perkauman dan lain-lain lagi yang boleh memberikan  kesan negatif  kepada disiplin dan sahsiah anak mereka.

Langkah ketiga adalah dengan  mengambil kira langkah kerajaan dalam mengawal isu berkaitan pengaruh negatif teknologi. Pihak kerajaan boleh mengawal kemasukan unsur-unsur negatif melalui teknologi dan inovasi. Sebagai contoh, kerajaan boleh mengawal jenis teknologi yang boleh digunakan di Negara ini. Kerajaan juga mempunyai hak untuk menghalang rakyat daripada melayari laman web yang tidak bersesuaian dengan para pelajar terutamanya.

Langkah keempat adalah peranan media. Media perlu berperanan dalam menyebarkan pengaruh baik akan penggunaan teknologi. Namun, media tidak digalakkan untuk membicarakan tentang mana-mana teknologi yang tidak relevan  dengan pelajar. Media juga seharusnya sentiasa memastikan apa yang disebarkan tidak mempunyai unsur yang tidak sesuai dengan pelajar mahupun masyarakat. Media memainkan peranan yang sangat besar terhadap masyarakat. Oleh itu, media seharusnya berperanan menunjukkan bagaimana cara untuk memanfaatkan  teknologi sedia ada ke arah kebaikan serta tidak menjejaskan disiplin dan sahsiah pelajar.

Langkah terakhir untuk memastikan teknologi dan inovasi tidak menjejaskan  sahsiah dan disiplin pelajar adalah dengan mengadakan kerjasama antara semua pihak  untuk mengadakan kempen kesedaran dalam kalangan pelajar. Hal ini bermaksud ibu bapa, guru, kerajaan, badan bukan kerajaan NGO serta masyarakat perlu sama menyedarkan golongan pelajar akan kebaikan dan cara yang betul untuk mengaplikasikan teknologi dalam kehidupan seharian mereka. Kempen yang berterusan serta pemantauan semua pihak mampu mengubah minda pelajar akan manfaat teknologi di samping menggalakkan mereka menggunakannya dengan sebaik mungkin.

Kesimpulannya, semua pihak harus sedar akan pengaruh negatif yang dibawa oleh teknologi. Namun, kita tidak boleh menolak teknologi kerana dengan adanya teknologi  ia turut  membuatkan kita semakin berkembang. Oleh itu, setiap pihak terutamanya pelajar harus memanfaatkan penggunaan teknologi demi untuk kemajuan dan bukan sebagai medan atau rujukan  untuk merosakkan disiplin dah sahsiah diri.

0 Comments:

Post a Comment